Petang tadi saya berkesempatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melihat pelaksanaan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan kit ujian kendiri saliva bagi pengembara yang akan ke Langkawi di dalam gelembung pelancongan domestik Projek Rintis Langkawi.
Untuk makluman semua, sejak bermulanya projek rintis ini pada 16 September lalu sehingga 19 September 2021, jumlah keseluruhan pelancong yang disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi adalah 9,776.
Daripada jumlah ini, hanya 13 individu dikesan positif dan kesemua mereka merupakan kategori satu (1) iaitu tidak bergejala. Mereka dan juga kontak rapat masing-masing ini telah diberikan perintah pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi tujuan pengasingan untuk tempoh 10 hari.
Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa pelaksanaan ujian saringan ini bukanlah untuk menyusahkan anda tetapi, ia dilakukan bagi memastikan setiap pembukaan semula sektor-sektor ekonomi kita dilakukan dengan selamat. We want to reopen our sectors safely.
Bersama-sama saya petang ini ialah Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir dan juga pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Saya juga turut meninjau proses saringan yang dilakukan ke atas pengembara dari luar negara yang pulang ke Malaysia. Proses ini termasuklah daripada mereka tiba di pintu masuk antarabangsa sehinggalah mereka meninggalkan KLIA untuk ke pusat kuarantin ataupun kediaman masing-masing bagi yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
Apa yang saya dapati ialah proses yang ada pada masa ini dilakukan secara manual dan semua proses ini mengambil masa yang sangat lama untuk selesai. Pastinya situasi ini tidak kondusif dan agak membebankan bukan sahaja kepada pengembara, malah kepada para petugas kesihatan dan keselamatan.
Ini termasuklah proses permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau HSO. Buat masa ini mereka perlu menghantar permohonan melalui emel kepada hso@moh.gov.my dan proses ini telah menyebabkan berlakunya tunggakan permohonan sebanyak 6,000.
Jadi saya telah arahkan CPRC KKM membangunkan satu sistem permohonan kuarantin di rumah dan hari ini, saya telah melancarkan sebuah portal bagi tujuan tersebut iaitu Home Quarantine Application (Portal HQA).
Saya berharap dengan adanya portal HQA ini, pengurusan permohonan dapat dilakukan dengan lebih baik. Mereka yang ingin memohon boleh mula melayari dan membuat permohonan melalui portal ini pada jam 8 pagi esok (21 September 2021). Pautan portal ini boleh didapati di laman sesawang KKM.
Saya ingin tekankan di sini bahawa walaupun proses-proses ini akan dipermudahkan melalui portal HQA yang baharu diperkenalkan, saya jamin tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal keselamatan dan kawalan kemasukan di pintu-pintu masuk antarabangsa.